Tuesday, August 11, 2009

Ikhlas.......







Adakah kita benar-benar yakin bahawa setiap amalan ibadat yang kita lakukan selama ini merupakan ibadat yang ikhlas kerana Allah S.W.T??...adakah kita benar-benar yakin??...Kita sering kali mengungkapkan perkataan 'ikhlas' apabila ditanya ketika melakukan sesuatu kerja yang di minta oleh orang lain....Pernah terdengar satu ungkapan mengenai ikhlas ini...

" ...ikhlas itu umpama seekor semut hitam yang berada di atas batu yang berwarna hitam, di dalam gua yang gelap gelita, pada waktu malam yang gelap tanpa cahaya bulan dan bintang....."

Jika benar keadaan ini berlaku, tiada siapa pun yang mampu untuk mencari semut tersebut..Ini bermakna, perasaan ikhlas itu sangat tinggi kedudukannya untuk dicapai oleh manusia biasa.

Ana pernah terbaca artikel mengenai ikhlas ini masa zaman sekolah dahulu. Artikel ini menceritakan kisah bagaimana seorang hamba Allah yang alim dan sering kali melakukan ibadat-ibadat dan sebagainya. Tetapi apabila hamba Allah ini mati dan pada hari akhirat untuk menentukan ke syurga atau neraka, Allah S.W.T memerintahkan malaikat menghumbankan hamba Allah ini ke dalam neraka. Malaikat bertanya kepada Allah mengapakah manusia ini dihumbankan ke dalam neraka sedangkan dia mengerjakan ibadah dengan banyak dan merupakan orang yang sangat alim. Lalu Allah S.W.T menerangkan kepada Malaikat bahawa manusia tersebut tidak ikhlas dalam melakukan ibadahnya.
Malaikat hanya dapat mengetahui isi hati manusia tetapi keikhlasan hati hanya Allah S.W.T sahaja yang mengetahui.

Di sini ada ingin berkongsi pembacaan yang telah ana baca untuk kita kongsi bersama yang ana petik daripada laman web 'I LUV ISLAM' yang menjadi laman web kegemaran ana apabila ana melayari internet iaitu cara untuk mempelajari ikhlas.

"Mari ku ajarkan mu tentang ikhlas," kata seorang guru kepada muridnya.

"Nanti saya ambilkan buku dan pena untuk menulisnya."

"Tak payah, bawa sahaja karung guni."

"Karung guni?" soal anak muridnya, seperti tidak percaya.

"Mari kita ke pasar!"




Dalam perjalanan ke pasar mereka berdua melalui jalan yang berbatu-batu.

"Kutip batu-batu yang besar dan masukkan ke dalam guni yang kau bawa itu," kata guru itu memberi arahan.

Tanpa soal, anak muridnya memasukkan batu-batu besar yang mereka temui sepanjang jalan.

"Cukup?"

"Belum, isi sampai penuh karung guni itu. Lebih banyak lebih baik."




Sampai di pasar, mereka berdua tidak membeli apa-apa pun. Gurunya hanya berlegar-legar, melihat-lihat dan kemudiannya mula beredar ke luar.

"Tok guru, kita tidak beli apa-apa kah?"

"Tidak. Bukankah karung guni mu telah penuh?"

"Ya, ya..." kata murid itu sambil memikul guni yang berat itu kelelahan.




"Banyak beli barang," tegur seorang kenalan apabila melihat anak murid itu memikul guni yang berisi penuh dengan batu-batu.

"Wah, tentu mereka berdua ini orang kaya. Banyak sungguh barang yang mereka beli," bisik orang lalu-lalang apabila melihat guru dan anak murid tersebut.

"Agaknya, mereka hendak buat kenduri dengan barang-barang yang banyak itu," kata orang yang lain.




Sampai sahaja di tempat tinggal mereka, murid tadi meletakkan guni yang berisi batu-batu tadi.

"Oh, letih sungguh... apa yang kita nak buat dengan batu-batu ni Tok?"

"Tak buat apa-apa."

"Eh, kalau begitu letih sahajalah saya," balas anak murid.

"Letih memang letih, tapi kamu dah belajar tentang ikhlas..."

"Bagaimana?" tanya anak murid itu kehairanan.




"Kamu dah belajar apa akibatnya tidak ikhlas dalam beramal."

"Dengan memikul batu-batu ini?"

"Ya. Batu-batu itu umpama amalan yang riyak. Tidak ikhlas. Orang memujinya seperti orang-orang di pasar tadi memuji banyaknya barang yang kamu beli. Tapi, kamu sendiri tahu itu bukan barang makanan atau keperluan tetapi hanya batu-batu..."

"Amal yang tidak ikhlas umpama batu-batu ini?"

"Ya, hanya beratnya sahaja yang terpaksa ditanggung. Dipuji orang, tetapi tidak ada nilainya di sisi Allah. Yang kamu dapat, hanya penat..."

"Ya, sekarang saya sudah faham apa akibat jika beramal tetapi tidak ikhlas!" ujar murid itu.

Sekarang dia sudah faham apa akibatnya RIYAK dalam beramal.




Pengajaran:

Ramai manusia tertipu dalam beramal kerana mengharapkan pujian orang. Padahal kata pujian daripada orang-orang itu tidak akan memberi manfaat pun kepadanya pada hari akhirat. Malah, mengharap pujian daripada manusia hanya akan menyebabkan diri terseksa kerana terpaksa hidup dalam keadaan yang bermuka-muka. Rugi benar orang yang tidak ikhlas, terseksa di dunia, terseksa di akhirat.

Semoga apa yang ana kongsikan ini sedikit sebanyak dapat memberikan kesedaran kepada diri kita semua agar sentiasa ikhlas dalam melakukan amal ibadah dan bukan kerana untuk mendapatkan nama, popular dan sebagainya. Mudah-mudahan segala amalan yang telah kita lakukan sepanjang hidup ini diterima dan mendapat keredhaan Allah S.W.T.

"..wahai tuhan kami...berikanlah kepada kami kebaikan hidup di dunia dan kebaikan hidup di akhirat....dan jauhkanlah kami dari azab api neraka,...." Amin.

No comments: